Geologi Kapur Awal

Cadangan untuk usia tepat sempadan Barremian–Aptian adalah antara 126 hingga 117 jtd sehingga baru-baru ini (sehingga 2019), tetapi berdasarkan lubang gerudi yang dilakukan di Svalbard yang mentakrifkan Peristiwa Anoksia Lautan Aptian Awal 1a (OAE1a) telah menentukan tarikh isotop karbon yakni pada 123.1±0.3 jtd, mengehadkan kemungkinan julat untuk sempadan masa kepada sekitar 122–121 jtd. Terdapat kemungkinan hubungan antara peristiwa anoksia ini dengan satu siri provinsi igneus besar (LIP) Kapur Awal.[2]

Provinsi igneus besar Ontong Jawa-Manihiki-Hikurangi yang terletak di lautan Pasifik Selatan kira-kira sekitar 120 jtd, setakat ini merupakan LIP terbesar dalam sejarah Bumi.[3] Dataran Tinggi Ontong Jawa hari ini meliputi kawasan seluas 1,860,000 km2. Di Lautan Hindi pula LIP yang satu lagi yakni Dataran Tinggi Kerguelen–Rabung Patah mula terbentuk pada sekitar 120 jtd meliputi keluasan 2,300,000 km2.[4] LIP yang lagi satu pula berada di Semenanjung Liaodong, China, sekitar 131–117 jtd, bertahan selama 10 juta tahun. Ia merupakan hasil subduksi plat Kula dan plat Pasifik, yang mungkin disebabkan oleh kepulan gergasi (superplume).[5]

Semasa pembukaan kawasan Atlantik Selatan, LIP Paraná–Etendeka menghasilkan 1.5 juta km3 basalt dan riolit setiap tahun, bermula pada 133 jtd dan bertahan selama sejuta tahun. [6]

Pembukaan lautan Atlantik Tengah berterusan apabila Rabung Atlantik Tengah merebak ke utara untuk memisahkan Semenanjung Iberia dari tebing Newfoundland dan menyambung ke Lembangan Kanada di Lautan Artik. Dengan pembukaan Laut Labrador, Greenland menjadi plat tektonik yang berasingan dan benua Laurentia menjadi benua Amerika Utara. Laut Caribbean Purba terus berkembang dan LIP Paraná-Etendeka mula memecahkan Afrika kepada tiga bahagian. Dataran Tinggi Falkland berpisah dari selatan Afrika pada 132 jtd dan Madagascar tidak lagi bergerak secara bebas sekitar 120 jtd. Di Lautan Panthalassa, Plat Pasifik terus berkembang; teran Alaska-Chukotka Artik membentuk Selat Bering. Keretakan yang berterusan membuka lembangan baharu di Lautan Hindi, memisahkan India, Antartika dan Australia.[7]

Menjelang 110 Ma Rabung Atlantik Tengah menjangkau ke selatan ke Lautan Caribbean Purba dan Lautan Atlantik Selatan, dengan berkesan memisahkan benua Amerika Selatan dari benua Afrika, dan terus berpecah di hujung utara melengkapkan takat membujur Atlantik. Di Panthalassa, LIP mega Ontong-Java menyebabkan pembentukan plat tektonik baru dan di Lautan Hindi LIP Kerguelen mula menolak India ke utara. [8]